Niat Dalam Belajar

Masa dalam perjalanan balik dari sarapan, anak perempuan (Hawa, 17) ada bertanya berkenaan macam mana nak berniat kerana belajar dengan betul.

“Kalau kita tengah belajarkan abah, kita nak niat apa? Sebab banyak sangat benda so Hawa confuse, nak niat apa” - Hawa

Persoalan ni memang dah banyak kali anak saya tanya dan bermacam-macam jenis jawapan yang saya kongsi pada dia. Apa yang saya perhati, Hawa seorang yang sukar untuk bersungguh-sungguh dalam suatu perkara melainkan dia faham 'kenapa' dia perlu berbuat demikian.

Apa yang saya belajar daripada soalan Hawa adalah; seperti pekerjaan lain, niat dalam belajar merupakan perkara pokok. Namun ia bukanlah satu perkara yang kita boleh putuskan dalam sekelip mata. Ia suatu proses yang menuntut kepada mujahadah kita sebagai seorang pelajar.

Sebagai seorang awam, apa yang saya mampu kongsikan dengan Hawa adalah:

  1. Sentiasa mulakan sesuatu pekerjaan dengan doa. Minta Allah beri hidayah, inayah dan ri’ayah. Kita tak akan mampu melakukan sesuatu, melainkan dengan pertolongan Allah. Jadi, mintalah kepada Allah.
  2. Tak salah untuk ada matlamat dunia, nampun pastikan kita fokus pada matlamat kita yang bersifat jangkamasa panjang (akhirat) supaya bermanfaat untuk kehidupan kita selepas mati. Contoh;
    1. Nak score 11 A+ dalam SPM adalah matlamat jangka masa pendek (dunia)
    2. Nak tingkatkan kebergantungan kita kepada Allah dengan jalan menuntut ilmu, adalah matlamat jangkamasa panjang (akhirat). Hawa bakal hadapi masalah dalam belajar, jadi berhajat pada pertolongan Allah pada setiap masa. Perlu terima kenyataan bahawa Hawa tak akan mampu faham sesuatu subjek melainkan dengan izin Allah. 

Mengapa matlamat itu perlu bersifat akhirat?

Sebab sebagai manusia, kita serba lemah. Bila keputusan SPM keluar dan tidak seperti yang kita harapkan, maka kita akan mudah berputus asa dan bersangka buruk kepada Allah. Namun, jika matlamat kita bersifat akhirat, maka kita akan belajar bahawa walaupun keputusan SPM yang kita terima tidak cemerlang, namun kita yakin bahawa Allah Maha Berkehendak. Dan Kehendak Allah mengatasi kemahuan kita. Dengan segala kesempurnaan sifat-sifat Allah, mustahil Allah berlaku zalim terhadap hambaNya. Akhirnya kita bersangka baik dan tidak akan mudah berputus asa.

Akhir perbualan, saya nyatakan kepada Hawa bahawa dia perlu belajar berniat dalam belajar kerana Allah. Dalam erti kata, Hawa akan bersusah payah dalam belajar hanya dengan harapan hubungan Hawa dan Allah makin dekat. Dengan jalan meningkatkan kebergantungan Hawa dengan Allah sehingga luput ke'aku'an dalam setiap usaha yang dilakukan.

 

 

Kita dengan cara masing-masing, namun tujuan tetap sama. Hawa dengan mujahadah seorang pelajar. Abah dengan mujahadah seorang pekerja. Tapi tujuan kita tetap sama iaitu Allah. Sebab, niat kita kerana Allah.


Back to blog